Selamat Datang...

Didiklah anakmu sesuai mengikut zamannya...

Jumaat, 3 Mei 2013

TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR

Pendahuluan
Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu selalunya tidak menyeronokkan dan biasanya membosankan murid. Keadaan ini berlaku kerana teknik pengajaran guru yang tidak dapat menarik perhatian murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak menggunakan bahan bantu belajar untuk menarik minat murid dan guru biasanya mengggunakan teknik yang konvensional (cara lama) dan tidak berpusatkan murid.

Oleh sebab itu, melalui pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) guru-guru haruslah menukar teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dengan mengaplikasikan teknik-teknik seperti improvisasi, main peranan, teater bercerita, permainan bahasa dan bercerita. Teknik yang dicadangkan ini juga berpusatkan murid dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas.

Pemilihan teknik haruslah berasaskan kepada kriteria tertentu seperti gaya pembelajaran murid, tajuk pengajaran, jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan, tahap pencapaian murid, persekitaran pembelajaran, nilai dan sikap yang ingin dipupuk.

TEKNIK MAIN PERANAN
Pengenalan Main Peranan
Main peranan merupakan satu situasi yang melibatkan murid memegang sesuatu peranan, sama ada sebagai dirinya sendiri atau individu lain, dan kemudian bertindak atau beraksi sebagaimana yang dikehendaki oleh situasi yang telah ditentukan. Main peranan kadangkala disebut juga sebagai ‘ambil peranan’ atau ‘sosiodrama’ yang mementingkan interaksi individu serta kumpulan dan dikelolakan dalam situasi kumpulan.

Main peranan sebagai individu lain memerlukan murid memainkan peranan berdasarkan tokoh, pekerjaan , kedudukannya dalam masyarakat atau pertubuhan tertentu. Oleh kerana peranan yang diberikan berbeza dari pengalamannya yang sebenar, para murid hendaklah diberi peluang menyediakan atau mendapat maklumat yang lengkap tentang peranan tersebut sama ada melalui pembacaan atau membuat rujukan kepada sumber-sumber tertentu. Di samping itu, guru boleh juga menyediakan maklumat tersebut mengikut keperluan.

Langkah-langkan Main Peranan
i. Guru mewujudkan satu situasi yang bermasalah yang disediakan
ii. Guru menerangkan secara ringkas mengenai objektif lakonan, watak-watak yang terlibat dalam situasi itu dan tempoh berlakon
iii. Guru memilih murid-murid yang berminat menjadi pelakon-pelakon.
iv. Murid-murid dikehendaki memikirkan dan mengemukakan cara penyelesaian masalah yang timbul dalam situasi .
v. Guru berbincang dengan murid tentang prestasi pelakon-pelakon dan cara menyelesaikan masalah
vi. Guru membimbing murid-murid membuat rumusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan