Selamat Datang...

Didiklah anakmu sesuai mengikut zamannya...

Jumaat, 3 Mei 2013

TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR

TEKNIK SUMBANGSARAN
* Teknik ini dikenali juga sebagai percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea.
* Boleh diaplikasikan sebagai aktiviti permainan bahasa pada peringkat sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebh serius dan kompleks pada peringkat sekolah menengah, universiti dan latihan profesional.
* Menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kretif dan bukan pembelajaran secara analitis.

TEKNIK DRAMA
* Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual.
* Tujuan utama adalah untuk melatih murid menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
* Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang murid untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya.
* Murid bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.
* Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
* Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada murid, disamping dapat menyuburkan sahsiah murid.
TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR
TEKNIK SIMULASI
* Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula.
* Melalui teknik ini murid-murid dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting.
* Dalam proses ini murid digalakkan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. 
* Memberi peluang kepada murid mengalami sendiri situasi dan masalah.
* Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan membaca dan menulis.
* Dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada murid untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.

TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR

TEKNIK LATIH - TUBI
* Teknik latih tubi adalah aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari.
* Tujuannya untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran disampimg menjamin kekekalannya.
* Ia sesuai digunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu.
* Boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting.
* Melalui teknik ini murid akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu.
* Berasaskan pengajaran bahasa dengar dan sebut (audiolingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.
PENDEKATAN PEMBELAJARAN BAHASA

* Berpusatkan Murid 
* Berdasarkan Bahan 
* Pemebelajaran Berasaskan Projek 
* Pembelajaran Berasaskan Masalah
* Pembelajaran Berasaskan Aktiviti 
* Pembelajaran Berasaskan Situasional/Senario 
* Pembelajaran Berasaskan Permainan 

Pendekatan berpusatkan murid 
* Pendekatan pembelajaran berpusatkan murid berlaku apabila murid memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran. 
* Murid-murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Murid-murid diberi peluang untuk maju mengikut kadar keupayaan mereka sendiri. Sehubungan dengannya aktiviti pemulihan dan pengayaan merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. 
* Guru merupakan seorang pemimpin yang memandu murid-murid menjalankan aktiviti pembelajaran sama ada secara kumpulan atau individu. 
* Banyak masa diperuntukkan untuk murid melaksanakan sesuatu aktiviti. 

Pendekatan berpusatkan bahan 
* Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan pelajaran sangat penting. Guru atau murid bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pelajaran. 
* Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan kecekapan dan kemahiran menggunakan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pelajaran. 
* Pendekatan ini menekankan perkembangan kognitif, jasmani dan rohani. Penggunaan bahan mengajar akan membantu murid memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas. 

Pendekatan berasaskan projek
* Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, pendekatan berasaskan projek boleh membantu guru untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik. 
* Dalam pendekatan berasaskan projek, pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik apabila guru dan murid dapat mengalami sendiri sesuatu situasi pembelajaran melalui projek yang dilaksanakan. 

 
Pendekatan berasaskan masalah 
* Pengajaran dan pembelajaran berasaskan masalah memerlukan seseorang guru secara kreatif menimbulkan situasi, keadaan dan fenomena yang boleh mendorong minat dan kecenderungan murid menggunakan fikiran dan kemahiran berbahasa untuk menyelesaikan masalah. 
* Guru menentukan tujuan, mengagihkan murid dalam kumpulan dan menentukan tugasan untuk menyelesaikan masalah. 

 
Pembelajaran berasaskan aktiviti
* Melalui pendekatan ini murid-murid bergerak aktif secara fizikal dan mental bagi tujuan melaksanakan tugasan mereka dalam aktiviti tertentu. Dengan demikian minat dan kecenderungan murid sentiasa terarah untuk terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru. 
* Pembelajaran berasaskan aktiviti boleh meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran guru bahasa Melayu di sekolah-sekolah. 

Pembelajaran berasaskan situasional 
* Pendekatan ini mementingkan penggunaan objek secara konkrit, gambar-gambar dan bahan-bahan maujud serta gerakan tingkah laku yang boleh membantu menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. 
* Guru hanya bertindak sebagai model dan menyediakan latar situasi yang dapat menciptakan struktur bahasa sasaran dan kemudian mengemukakan contoh-contoh untuk diikuti secara berulang untuk mengukuhkan pembelajaran. 

 
Pembelajaran berasaskan permainan 
* Dalam pendekatan ini pengajaran dan pembelajaran seolah-olah hidup dengan permainan-permainan yang disediakan. Murid-murid akan mengalami sendiri aktiviti permainan yang dilaksanakan. 
* Murid-murid akan mudah memahami apa yang guru ajarkan melalui permainan yang disediakan dengan menarik dan berkesan. Murid-murid dapat berkomunikasi dengan berkesan dan melahirkan perasaan dengan menggunakan bahasa dan aksi

TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR


TEKNIK IMPROVISASI
Pengenalan Improvisasi
Improvisasi ialah aktiviti lakonan spontan dalam situasi yang tidak dirancang. Ia boleh mengisahkan sesuatu kejadian atau situasi dalam kehidupan harian atau imaginasi. Murid berperanan mencipta dialog dan melakukan sesuatu aksi secara spontan mengikut arahan yang ditetapkan atau berdasarkan daya imaginasi atau kreativiti mereka sendiri. 

Aktiviti improvisasi dapat menjadi satu latihan untuk meningkatkan daya imaginatif dan kreatif murid dalam menggunakan bahasa yang baik dan berkesan. Aktiviti ini juga dapat melatih murid sentiasa bersedia memberikan tindak balas spontan apabila diperlukan. Improvisasi juga dapat meningkatkan daya penghayatan murid agar lebih peka terhadap objek, situasi dan peranan yang ditentukan.

Langkah-langkah Improvisasi
i. Guru memberi rangsangan samada berdasarkan situasi, objek watak, petikan cerita atau gambar.
ii. Murid diberi masa untuk berbincang dalam kumpulan kecil.
iii. Setelah murid benar-benar yakin , barulah mereka dikehendaki beraksi di hadapan kelas.
iv. Guru tidak perlu menyedarkan murid mengenai penonton kerana ini untuk membentuk keyakinan murid beraksi.
v. Ahli kumpulan sebaiknya ditukar ganti supaya pergaulan social murid lebih luas.
vi. Guru perlu membimbing murid dengan bijak tanpa mematahkan minat mereka untuk berimprovisasi.
TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR

TEKNIK BERCERITA
Pengenalan Bercerita
Bercerita merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian murid. Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan.
Bercerita juga dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikalangan murid. Teknik Bercerita merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian murid.

Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata. Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan. 

Teknik bercerita bertujuan untuk mencernakan daya kreatif dan imaginasi murid. Selain itu ia dapat melatih murid dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan bahasa terutamanya kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur. Guru yang menggunakan teknik ini boleh menggalakkan murid berkomunikasi dengan berkesan dari segi sebutan, nada, intonasi dan ekspresi atau mimik muka mereka.

Langkah-langkah Bercerita
i. Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid-murid.
ii. Kemudian, sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
iii. Kaji cerita itu dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.
iv. Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.
v. Latih bercerita seolah-olah guru berada di hadapan murid-murid sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini.
vi. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.
vii. Guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar atau lain-lain Bahan Bantu Mengajar.
viii. Sediakan kad-kad perkataan, frasa-frasa atau ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek-aspek bahasa yang hendak disampaikan.
TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR

 TEKNIK PERMAINAN BAHASA
 Pengenalan Permainan Bahasa
Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan. Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada murid memperolehi latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa murid antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Teknik ini sesuai digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah. Teknik ini juga adalah satu strategi pengajaran yang sesuai digunakan pada pelbagai tahap pencapaian murid. Permainan bahasa bukanlah merupakan aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang kepada murid mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan ada hubung kaitnya dengan kandungan isi pelajaran secara langsung atau tidak langsung.

 Langkah-langkah Permainan Bahasa
i. Secara Berkumpulan
Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil.. Bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan adalah penting dalam menentukan kelancaran permainan. Jika bilangan murid dalam sesebuah kelas terlalu ramai, guru hendaklah membahagikan murid dalam banyak kumpulan.

ii. Secara Berpasangan
Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam melibatkan penyertaan murid. Permainan bahasa secara berpasangan boleh memberikan lebih banyak peluang latihan mendengar dan bertutur. Guru lebih mudah untuk mengawal pasangan murid.

iii. Secara Individu
Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini biasanya dilakukan untuk murid yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan tugas yang diberikan oleh guru dalam sesuatu masa tertentu. 
TEKNIK PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN KSSR

Pendahuluan
Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu selalunya tidak menyeronokkan dan biasanya membosankan murid. Keadaan ini berlaku kerana teknik pengajaran guru yang tidak dapat menarik perhatian murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak menggunakan bahan bantu belajar untuk menarik minat murid dan guru biasanya mengggunakan teknik yang konvensional (cara lama) dan tidak berpusatkan murid.

Oleh sebab itu, melalui pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) guru-guru haruslah menukar teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dengan mengaplikasikan teknik-teknik seperti improvisasi, main peranan, teater bercerita, permainan bahasa dan bercerita. Teknik yang dicadangkan ini juga berpusatkan murid dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas.

Pemilihan teknik haruslah berasaskan kepada kriteria tertentu seperti gaya pembelajaran murid, tajuk pengajaran, jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan, tahap pencapaian murid, persekitaran pembelajaran, nilai dan sikap yang ingin dipupuk.

TEKNIK MAIN PERANAN
Pengenalan Main Peranan
Main peranan merupakan satu situasi yang melibatkan murid memegang sesuatu peranan, sama ada sebagai dirinya sendiri atau individu lain, dan kemudian bertindak atau beraksi sebagaimana yang dikehendaki oleh situasi yang telah ditentukan. Main peranan kadangkala disebut juga sebagai ‘ambil peranan’ atau ‘sosiodrama’ yang mementingkan interaksi individu serta kumpulan dan dikelolakan dalam situasi kumpulan.

Main peranan sebagai individu lain memerlukan murid memainkan peranan berdasarkan tokoh, pekerjaan , kedudukannya dalam masyarakat atau pertubuhan tertentu. Oleh kerana peranan yang diberikan berbeza dari pengalamannya yang sebenar, para murid hendaklah diberi peluang menyediakan atau mendapat maklumat yang lengkap tentang peranan tersebut sama ada melalui pembacaan atau membuat rujukan kepada sumber-sumber tertentu. Di samping itu, guru boleh juga menyediakan maklumat tersebut mengikut keperluan.

Langkah-langkan Main Peranan
i. Guru mewujudkan satu situasi yang bermasalah yang disediakan
ii. Guru menerangkan secara ringkas mengenai objektif lakonan, watak-watak yang terlibat dalam situasi itu dan tempoh berlakon
iii. Guru memilih murid-murid yang berminat menjadi pelakon-pelakon.
iv. Murid-murid dikehendaki memikirkan dan mengemukakan cara penyelesaian masalah yang timbul dalam situasi .
v. Guru berbincang dengan murid tentang prestasi pelakon-pelakon dan cara menyelesaikan masalah
vi. Guru membimbing murid-murid membuat rumusan.

Selasa, 30 April 2013


RANCANGAN PELAJARAN HARIAN KSSR BAHASA MALAYSIA


Mata Pelajaran dan Kelas
Bahasa Malaysia  Tahun 3 Bestari
Tema/Tajuk
Kebudayaan - Makanan Kita
Masa
7.30 – 8.30 pagi
Standard Pembelajaran
1.4.4  / Literasi 3.2
Objektif Pembelajaran 
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat;
i.      Bertutur  untuk menyatakan permintaan dengan betul.
ii.     Bertutur  untuk menyatakan permintaan dengan intonasi yang
     betul secara bertatasusila.
iii.   Literasi;
Menyebut dan memadankan frasa yang mengandungi suku 
 kata terbuka dan suku kata tertutup dengan gambar.
Aktiviti
1.     Menuturkan ayat-ayat permintaan yang telah didengar daripada dialog.
2.     Main peranan sebagai penjual dan pembeli. (Keusahawanan)
3.     Berbincang  tentang cara yang betul  membina ayat permintaan berdasarkan situasi dan menuturkannya semula.
4.     Menulis ayat permintaan berdasarkan gambar, slaid powerpoint atau situasi pada komputer, papan tulis atau lembaran kerja.  
Aktiviti Literasi
1.       Menyebut frasa menunjukkan  permintaan dengan bimbingan guru.
2.       Memadankan frasa menunjukkan  permintaan dengan  gambar
       yang sesuai.
EMK
Nilai Murni – berbudi bahasa, jujur
Keusahawanan – sikap dan pemikiran keusahawanan
TMK – belajar melalui TMK
Bahan Bantu Belajar
Radio/komputer, slaid powerpoint gambar-gambar  tunggal, kad gambar, lembaran kerja
Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran
Murid menuturkan ayat-ayat permintaan berdasarkan gambar situasi atau slaid powerpoint yang dipaparkan.
Refleksi
30 orang daripada 36 orang murid telah mencapai objektif P&P.
Murid yang belum menguasai akan diberi bimbingan.
Murid yang telah menguasai akan diberi latihan pengayaan.

ASPEK TATABAHASA DALAM KSSR TAHUN 3

KOMPONEN SISTEM BAHASA
* Tatabahasa
* Sistem Ejaan
* Kosa kata
* Sebutan dan Intonasi
* Peribahasa

PRINSIP PENGAJARAN TATABAHASA
* Utamakan aspek penggunaan mengikut konteks
* Bermula mudah ke kompleks
* Tidak menghafal rumus
* Diajar secara terancang
* Pemilihan pendekatan yang sesuai

KONSEP ASPEK TATABAHASA
* Aspek tatabahasa merujuk kepada keupayaan murid menguasai perkara asas dalam pembentukan kata dan ayat serta menggunakan tatabahasa mengikut cara dan sistem yang betul semasa membina ayat.
* Selain itu, aspek sebutan, intonasi dan semantik serta penggunaan peribahasa dan perbendaharaan kata yang betul juga diberi penekanan.

* Pengajaran dan pembelajaran tatabahasa diberi penekanan melalui penggabungjalinan kemahiran bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran.

OBJEKTIF ASPEK TATABAHASA
Adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i. memahami dan menggunakan kata nama am hidup merujuk bukan manusia, kata nama khas hidup bukan  manusia dan kata  kata ganti nama diri merujuk kepada gelaran dan panggilan mengikut konteks;
ii. memahami dan menggunakan kata kerja  terbitan dan kata adjektif ukuran dan bentuk dengan betul mengikut konteks;
iii.memahami dan menggunakan kata hubung gabungan dengan betul mengikut konteks;
iv.memahami dan menggunakan kata sendi nama  menunjukkan  tempat, arah dan masa dengan betul mengikut konteks;
v  memahami dan menggunakan imbuhan awalan meN- dan imbuhan  apitan  dengan betul mengikut konteks;
vi.memahami dan menggunakan kata ganda penuh dalam pelbagai situasi dengan betul mengikut konteks;
vii.memahami dan membina ayat tunggal dengan menggunakan pelbagai pola ayat dalam sesuatu  situasi;dan
viii. memahami dan membina ayat dengan kata tanya dan tanpa kata tanya menggunakan tanda baca yang betul mengikut konteks.

PERBEZAAN ASPEK TATABAHASA KBSR & KSSR
KBSR tatabahasa diajar secara penyerapan atau sisipan manakala KSSR pula tatabahasa diajar secara berfokus

















ASPEK SENI BAHASA DALAM KSSR TAHUN 3

KONSEP
Aspek seni bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap dan mengapresiasi keindahan bahasa, memahami dan menghargai bahasa melalui pembelajaran yang menyeronokkan menerusi kepelbagaian aktiviti secara didik hibur.

Murid juga dapat menggunakan kreativiti mereka dalam melahirkan idea melalui penulisan dan lisan.   

Seni bahasa memberi menekankan kepada keindahan bahasa yang dipelajari oleh murid melalui teknik penyampaian yang menarik dan menyeronokkan seperti bernyanyi, bercerita, berlakon dan  berpuisi.  

Pembentukan ayat  yang menggunakan  simile, peribahasa, bahasa kiasan dan  personafikasi yang terdapat dalam puisi dan penulisan kreatif  juga menampakkan keindahan dan seni dalam bahasa Melayu. 

Keindahan bahasa yang digunakan semasa aktiviti seni bahasa ini dapat membantu murid memantapkan lagi kemahiran berbahasa mereka

OBJEKTIF SENI BAHASA

Objektif  Aspek Seni Bahasa  adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
* menyebut, memahami dan menyatakan mesej daripada lirik lagu dalam nyanyian secara didik hibur; 
* menyebut dan memahami diksi serta lirik lagu dalam nyanyian secara didik hibur
* mengujarkan ayat tentang sesuatu perkara dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta menggunakan mimik muka yang sesuai untuk menyatakan mesej melalui penceritaan secara didik hibur;
mengujarkan dialog tentang sesuatu perkara dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas untuk menyatakan mesej serta menggunakan bahasa badan yang sesuai untuk mengenali watak melalui lakonan secara didik hibur; dan
melafazkan pantun dua kerat dengan intonasi yang betul dan memahami maksud pantun yang dilafaz menggunakan bahasa yang indah secara didik hibur.

PRINSIP PENGAJARAN SENI BAHASA
* Pentingkan kehalusan dan keindahan bahasa
* Pemilihan bahan yang sesuai
Penglibatan murid
Guru sebagai pembimbing
Pembelajaran secara santai
* Menekankan elemen didik hibur





    

Khamis, 11 April 2013

DIDIK HIBUR DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MALAYSIA

Maksud Didik Hibur
Satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur yang terancang dan bersistematik dengan penekanan pelaksanaannya terhadap empat komponen sastera iaitu ;
• nyanyian
• bercerita
• lakonan puisi

Ciri-ciri Didik Hibur
P&P yang menyeronokkan – kelakar, kecindan, berunsur estetik, alunan muzik, lakonan dan sebagainya.
* Santai dan menghiburkan.
* Kepelbagaian aktiviti dan BBM
* Penglibatan murid 100% 
* Menjurus kepada aktiviti individu/berpasangan/kumpulan 
* Kebebasan bersuara, memberi pendapat dan idea secara terkawal. Kreativiti dalam gerak laku dan mimik muka.

Peranan Guru Dalam Didik Hibur
* Guru yang mesra, menarik perwatakan dan kecindan.
* Penggunaan bahasa sesuai.
* Berupaya dan mampu melakukan pelbagai aktiviti.
* Memberi arahan mudah dan tepat.
* Prihatin dan peka.
* Fleksibel dan berkebolehan membuat keputusan.

Kejayaan didik hibur secara berkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang dan bagaimana dilaksanakan melalui pengajaran dan pembelajaran.










KEMAHIRAN MENULIS DALAM KSSR TAHUN TIGA

Konsep Kemahiran Menulis
* Merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi melalui pelbagai jenis penulisan kreatif dan bukan kreatif.
* Penulisan yang menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan tatabahasa serta ejaan yang betul serta tulisan yang jelas dan kemas.
* Murid juga digalak menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan bahan penulisan.

Prinsip Kemahiran Menulis
* Kemahiran menulis mekanis merupakan asas kepada penguasaan menulis. 
* Melahirkan idea dalam bentuk penulisan perlu mengamalkan prinsip ansur maju. 
* Keseragaman dalam membentuk dan menulis huruf perlu dititikberatkan. 
* Latihan menulis yang berterusan perlu dijadikan amalan. 
* Mengimlak dapat mengukuhkan penguasaan kemahiran mengeja. 
* Bacaan luas membantu menghasilkan penulisan karangan yang baik melalui penambahan kosa kata. 

Objektif Kemahiran Menulis
* Menulis ayat tunggal dan ayat majmuk secara mekanis dengan betul dan kemas;
* Menulis frasa dan ayat tunggal secara mekanis dalam bentuk tulisan berangkai dengan betul dan kemas;
* Membina dan menulis jawapan pemahaman berdasarkan soalan bertumpu dengan betul;
* Membina dan menulis pelbagai jenis ayat berdasarkan bahan grafik dalam satu perenggan dengan betul;
* Menulis imlak perkataan, frasa dan ayat yang mengandungi perkataan berimbuhan dengan tanda baca dan ejaan yang tepat;
* Mencatat maklumat yang betul mengikut susunan dan membuat carta alir daripada pelbagai sumber;
* Menulis untuk menyampaikan maklumat yang betul menggunakan idea utama dengan menggunakan bahasa yang santun;
* Menulis untuk menyampaikan maklumat berbentuk pengumuman yang betul dan jelas dengan menegaskan kesantunan berbahasa;
* Menghasilkan penulisan pelbagai genre secara berpandu dengan betul; dan
* Mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek penggunaan kata, imbuhan, kata majmuk, ejaan dan tanda baca.












RUMUSAN KEMAHIRAN MEMBACA

Aktiviti pengjaran dan pembelajaran membaca perlu memberi penekanan kepada aspek:
* penggabungjalinan kemahiran membaca dengan kemahiran bahasa yang lain.
* penyerapan ilmu, nilai dan aspek KBT
* pentaksiran
* pemulihan pengayaan.

Cara Terbaik Melaksanakan Aktiviti Membaca:
Fikirkan apa yang penting sebelum melaksanakan pengajaran.
* apa yang hendak diajar
* setakat mana hendak diajar
* bagaimana penyampaian yang berkesan

Penyampaian Berkesan:
* Penyampaian yang mudah difahami oleh murid 
* Aktiviti mudah dilaksanakan 
* Aktiviti menarik dan disukai oleh murid. 
   ~ Dapat menarik tumpuan murid;
   ~ Aktiviti sesuai dengan jiwa murid (rancang aktiviti yang murid suka) 
   ~ Ada kemahiran yang boleh dikuasai dan ada ilmu yang diperolehi.
* Fikirkan cara terbaik untuk kita melaksanakan aktiviti membaca.
* Masukkan perkara yang diperlukan ke dalam aktiviti tersebut.
   ~ pengabungjalinan kemahiran bahasa
   ~ penyerapan ilmu, nilai, EMK
   ~ pentaksiran/penilaian
   ~ pengayaan pemulihan
KEMAHIRAN MEMBACA DALAM KSSR TAHUN TIGA

Konsep Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda yang betul dan membaca dengan lancar menggunakan pelbagai teknik bacaan. Penekanan perlu juga diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu, bahan sastera dan bahan bukan sastera secara kritis.

Prinsip Kemahiran Membaca
* Bacaan mekanis asas untuk menguasai kemahiran membaca. 
* Bacaan mentalis untuk melatih murid membaca dan memahami. 
* Bahan bacaan perlu sesuai, menarik dan bersifat ansur maju. 
* Soalan bertumpu dan bercapah membantu murid memahami kandungan bahan bacaan. 
* Kepelbagaian pendekatan dan teknik membaca perlu diaplikasikan mengikut kesesuaian. 
* Bacaan intensif dan ekstensif memperkaya kosa kata dan ilmu serta minat membaca.

Peringkat Kemahiran Membaca
Peringkat melatih murid membaca dan memahami perkara yang dibaca. 
* Peringkat melatih murid membaca dan mencari maklumat (pengetahuan). 
* Peringkat melatih murid membina dan memperkukuh sikap gemar membaca.

Objektif Kemahiran Membaca
* Membaca dan memahami perkataan berimbuhan awalan dan berimbuhan akhiran dalam ayat daripada pelbagai bahan bacaan dengan sebutan yang betul;

* Membaca dan memahami frasa yang mengandungi diftong, vokal berganding, digraf dan konsonan bergabung dalam perenggan daripada pelbagai bahan bacaan dengan sebutan yang betul;

* Membaca kuat bahan bacaan yang mengandungi pelbagai pola ayat, ayat tunggal susunan biasa dan ayat tunggal susunan songsang dengan lancar, sebutan dan intonasi yang betul dan jelas; 

* Membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat daripada pelbagai bahan multimedia untuk mengenal pasti pertautan idea, membuat penilaian dan ramalan dengan betul;

* Membaca, memahami dan menaakul bahan grafik untuk memindahkan maklumat kepada bentuk ayat dengan betul; dan

* Membaca dan memahami pelbagai bahan sastera dan bukan sastera untuk menambah ilmu pengetahuan dan mendapatkan pengajaran.





RUMUSAN KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

* Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan asas dalam kemahiran berbahasa.
* Bertutur dengan bahasa yang mudah, tepat dan jelas.
* Bahan rangsangan penting untuk meningkatkan minat dalam menguasai kemahiran mendengar dan bertutur.
* Memberi peluang murid terlibat secara aktif dapat mempercepat penguasaan kemahiran.
* Memberi tumpuan kepada aspek sebutan, intonasi, jeda dan tatabahasa;
* Laras bahasa yang digunakan mesti bersesuaian dengan konsep.
* Kemahiran mendengar hendaklah dijalankan bersama-sama kemahiran lain.
* Latihan yang dijalankan hendaklah berteraskan sesuatu sesuatu tugasan yang boleh membawa kepada sesuatu aktiviti.
* Setiap aktiviti dan kemahiran , membolehkan murid menunjukkan kefahaman mereka melalui bahasa, aksi atau cara-cara lain yang berkesan.
* Guru harus memberi peluang kepada murid berlatih mendengar sebanyak yang mungkin dan berserta dengan motivasi.


OBJEKTIF KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

Objektif Kemahiran Mendengar dan Bertutur adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan: 

* Mendengar, memahami, menyebut frasa dan ayat dengan struktur yang betul dan tepat;

* Mendengar, memahami dan memberikan respons secara lisan atau gerak laku terhadap arahan    berdasarkan ayat perintah jenis ayat permintaan dan ayat perintah jenis ayat suruhan dengan betul;

* Mendengar, memahami dan memberikan respons secara lisan berdasarkan soalan yang mengandungi kata tanya dan menyampaikan pesanan dengan betul;

* Berbual tentang sesuatu perkara menggunakan pelbagai ayat, kata panggilan yang sesuai dalam kalangan bukan ahli keluarga dan kata ganti nama diri yang betul dalam pelbagai situasi secara bertatasusila;

* Bertutur, berbual dan menyatakan permintaan menggunakan perkataan dan ayat yang sesuai dalam situasi  tidak formal secara bertatasusila;

* Bercerita dan menceritakan sesuatu perkara yang dibaca dengan tepat menggunakan ayat tunggal dan ayat majmuk dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;

* Berbicara untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat menggunakan ayat yang mengandungi frasa yang sesuai secara bertatasusila; dan 

* Berbincang dan mengemukakan pandangan dan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber menggunakan perkataan, frasa dan ayat yang betul secara bertatasusila.
KEMAHIRAN BERTUTUR DALAM KSSR TAHUN TIGA

Kemahiran Bertutur merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan , menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penekanan juga diberi kepada penggunaan tatabahasa yang betul.

Aspek-aspek Dalam Kemahiran Bertutur
* Sebutan 
* Nada
* Tekanan 
* Intonasi 
* Moral (Panjang /Pendek)
* Tatabahasa 
* Kefasihan 
* Laras bahasa

Peringkat Awal
* Melafazkan , mengajuk, perkataan dan ayat yang yang didengar.
* Menyoal untuk mendapatkan maklumat bertindak terhadap soalan mudah.
* Membuat ayat mengenai diri sendiri dan membuat ayat daripada gambar.

Peringkat Pertengahan
* Membuat diskripsi tentang objek atau gambar.
* Bercerita berdasarkan gambar , pengalaman
* Menyoal dan menjawab soalan
* Memberi ucapan pendek
* Perbualan mudah
* Memberi komen mudah
* Memberi ulasan, pendapat atau pandangan mudah

Peringkat Maju
* Mendeskripsi sesuatu peristiwa, kejadian, pengalaman,objek dan lain-lain.
* Bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya.
* Mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog.
* Mengambil bahagian alam drama atau lakonan.
* Mendeklamasi puisi
* Menyampaikan komen, laporan atau ulasan.














 






KEMAHIRAN MENDENGAR DALAM KSSR TAHUN TIGA

Kemahiran mendengar merujuk keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan serta dapat memberikan respons.

Proses Mendengar
•Mendengar deretan bahasa •Menilai bunyi  •Memahami bunyi bahasa •Bertindak terhadap bunyi

Peringkat Awal
*mengecam, mengajuk dan memilih bunyi
*mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat
*melakukan sesuatu yang disuruh
*menjalankan perintah dan permintaan
*bertindak terhadap soalan-soalan mudah
*mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah secara tepat. 

Peringkat Pertengahan
*mengecam dan mengingat fakta
*mengenal maklumat khusus
*mengesan urutan maklumat
*mengenal sebab dan akibat
*mengenal perhubungan orang yang berinteraksi
*mengenal sikap dan perasan orang yang bercakap

Peringkat Maju
*mengenal isi-isi penting
*mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap
*mentafsir maksud orang yang bercakap
*memberitahu fungsi tekanan dan intonasi
*mencari jalan mengatasi masalah yang didengar
*mengikut aliran dalam dialog atau perbualan
*mentafsir tujuan penutur menggunakan berbagai-bagai struktur nahu